Selasa, 1 September 2009

Sebelas Ramadhan, Sungguh Cepat Masa Berlalu

Wah, sudah lama benar saya tidak mengemaskini blog ini. Kali terakhir saya memaparkan pos saya ialah pada 3 Sya'ban. Hari ini sudah 11 Ramadhan. Niat untuk mengemaskini blog sentiasa ada, cuma waktu menjadi penghalangnya.

Sekarang masa sudah menginjak ke bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Ramadhan Karim. Alhamdulillah, kerana masih berkesempatan untuk merebut peluang mendapatkan "pahala runtuh" di bulan pesta ibadah ini. Semoga kita semua mampu menikmati keindahan bulan ini dan merebut peluang keemasan ini hingga ke hari terakhir Ramadhan 1430H. Kita tidak pasti sama ada kita masih berpeluang lagi untuk bertemu Ramadhan atau tidak, kerana ajal maut di tangan Allah. Kita tidak pasti sama ada kita masih mampu melakukan ibadah dengan sempurna atau tidak selepas ini, kerana kesihatan dan keuzuran ditentukan oleh-Nya. Kita tidak pasti sama ada kita masih mampu bersedekah atau tidak pada masa depan, kerana rezeki kita diatur oleh Al-Rahman. Kita tidak pasti sama ada kita masih berkelapangan atau tidak untuk menggandakan ibadah kita esok hari, kerana esok masih belum milik kita. Oleh itu, "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (Hadith Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Semalam sudah berlalu pergi, esok masih tidak pasti, hari ini masih mampu dikuasai. Oleh itu, marilah sama-sama kita gunakan masa hari ini yang masih dalam genggaman untuk merebut peluang yang hanya datang setahun sekali.

Ramadhan al-Mubarak.

Nukilan,
Wanna
11 Ramadhan 1430H.

Tiada ulasan: