Jumaat, 24 Julai 2009

Adakah Ini Yang Kita Mahu?

Sejak akhir-akhir ini, banyak betul berita-berita yang tidak enak didengar, dipaparkan di media-media massa. Bimbang, rungsing, marah, kecewa dan pelbagai perasaan yang bercampur baur di hati ini. Dua minggu lepas, klip video beberapa orang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah yang sedang memukul dan menyepak seorang pelajar perempuan lain dipaparkan di dalam YouTube. Berita ini mendapat liputan meluas di seluruh negara. Apa yang menyedihkan, pembuli-pembuli perempuan ini ada yang berbaju kurung dan bertudung litup. Ke mana perginya adab sebagai muslimah solehah yang sepatutnya dipamerkan sebagai tauladan kepada muslimah yang lain? Sebaliknya watak sebagai pembuli pula dipilih oleh remaja-remaja ini. Sungguh merunsingkan!

Minggu lepas, selepas beberapa minggu keputusan pemansuhan perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris) diambil oleh kerajaan, dilaporkan suatu kajian yang menyatakan seramai 54, 299 pelajar tahun satu di seluruh negara tidak mampu membaca dan menulis. Dan yang lebih mengejutkan, satu reaksi bertulis dari seorang guru yang juga merupakan seorang penonton Berita TV3 menyatakan masalah buta huruf ini juga wujud dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah. Apa sudah jadi dengan sistem pendidikan di negara kita? Selepas hampir 52 tahun merdeka dan dengan kelengkapan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) yang canggih, kita masih lagi menghadapi masalah buta huruf yang begitu serius. Bagaimanakah bentuk generasi yang akan kita lahirkan sekiranya masalah ini tidak dibendung dengan segera? Sungguh mencemaskan!

Dua hari lepas, seorang guru lelaki didakwa telah memaksa dua orang pelajar lelaki berumur 14 dan 15 tahun melakukan seks oral dan onani di dalam bilik persalinan di dalam kawasan sekolah. Guru tersebut walau bagaimanapun tidak dapat dikesan selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh kedua-dua pelajarnya itu yang tidak tahan dengan perbuatan guru tersebut. Dikatakan perlakuan yang tidak senonoh itu telah dilakukan beberapa kali sebelum itu. Bagaimana seorang guru yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa menjadi insan kamil ini tergamak menghancurkan harapan ibu bapa demi memuaskan nafsu serakah yang membuas. Sungguh mengecewakan!

Dalam menghadapi pelbagai masalah sosial dan pendidikan yang semakin parah ini, kita masih disogokkan dengan rancangan-rancangan hiburan yang tiada arah. Satu persatu rancangan hiburan baru diperkenalkan. Tidak cukup dengan program hiburan realiti telivisyen Akademi Fantasia, Mentor, One in A Million, Bintang LG, Bintang RTM (walaupun tidak segah mana), program Jangan Lupa Lirik (tak silap bermula tahun lepas) dan Pentas Anak Wayang pula diperkenalkan. Ini menampakkan betapa sempitnya pemikiran kita. Yang menyedihkan, majoriti penonton-penontonnya ialah bangsa kita Melayu yang beragama Islam. Dan yang terlibat dengan masalah sosial juga majoritinya ialah saudara sebangsa dan seagama kita Melayu Muslim.

Di manakah silapnya dengan sistem pendidikan yang ada pada hari ini? Di manakah kita dalam hal ini? Ke manakah arah tujuan kita? Apakah tindakan kita atau adakah ini yang kita mahu? Sama-samalah kita fikirkan.

"Ya Allah selamatkanlah kami dari semua fitnah dunia ini. Berikanlah kami kecekalan hati bagi menangani ujian-Mu ini. Kurniakanlah kami kekuatan jiwa bagi merubah keadaan ini. Amin."

Luahan Hati,
Wanna
3 Sya'ban 1430H

2 ulasan:

Dr Zahau berkata...

salam..saya sbnrnya sedih gak za..banyak golongan remaja muda Melayu Islam yang terjebak dalam gejala ni..minda hanya mahu seronok semata-mata..sedangkan waktu remajalah peribadi diri dibentuk..wallahualam..semoga shbt lain dan saya mendapat perlindungan ALlah dari perkara ni..

Wanna berkata...

Ustazah juga begitu. Setakat ini apa yang ustazah mampu lakukan ialah menasihati pelajar-pelajar ustazah di dalam kelas dan mendoakan kesejahteraan mereka. Di luar kelas ustazah sudah tiada kawalan lagi. Ustazah juga sentiasa menasihati dan mendoakan agar anak-anak ustazah mampu menjadi Imam kepada para muttaqin pada masa depan. Insya'Allah.