Jumaat, 24 Julai 2009

Pengalaman Membentangkan Kertas Kerja Di Konferensi

Dah lama benar rupanya saya tak mengemaskini entry dalam blog ini. Pejam celik, pejam celik dah dua minggu berlalu tanpa sebarang entry baru. Entahlah, sibuk betul rasanya. Alhamdulillah, malam ini saya cuba mencari sedikit waktu untuk mencelah. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang pengalaman membentangkan kertas kerja di konferensi.

Dua minggu lepas saya telah menghadiri sebuah konferensi di Universiti Malaya iaitu International Conference On Research In Islamic Laws (ICRIL 09). Ini merupakan pengalaman pertama saya membentangkan kertas kerja. Kecut juga perut ni bila melihatkan standard keantarabangsaanya itu. Walau bagaimanapun, kertas yang saya bentangkan dalam bahasa Melayu. Jadi, pendengarnya hanya terhad kepada warganegara Malaysia dan Indonesia sahaja. Ini kerana, para pembentang telah ditempatkan mengikut bahasa perantara yang dipilih. Jadi memang "full house" jugalah Bilik Seminar 7, Akademi Pengajian Islam tu. Tajuk kertas kerja saya ialah "Perlindungan Bagi Menangani Isu Penganiayaan Kanak-kanak: Satu Tinjauan Dari Perspektif Undang-undang Islam". Ia merupakan salah satu bab kecil dari tesis master saya yang belum pernah dibentangkan di mana-mana seminar mahupun konferensi. Saya memilih tajuk ini memandangkan kadar penganiayaan kanak-kanak meningkat saban tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan, kadar penganiayaan kanak-kanak pada tahun 2008 telah meningkat kepada 2780 kes berbanding 2279 kes pada tahun sebelumnya. Apa yang menyedihkan, pendera berbangsa Melayu Muslim menduduki tempat teratas mengatasi bangsa-bangsa lain. Kadar penganiayaan ini tidak pernah menurun walaupun selepas penguatkuasaan Akta Kanak-kanak 2009. Bertitik tolak dari situlah saya merasakan perlu satu kajian yang terperinci mengenai perlindungan yang diberikan oleh Islam terhadap kanak-kanak dari sudut perundangan dengan harapan ia mampu membendung masalah sosial yang kian meruncing ini.

Saya telah dijadualkan untuk membentangkan kertas saya itu pada 15 Julai 2009 pada pukul 12.30 tengahari. Pada mulanya, saya sangkakan pembentangan akan dilakukan seperti memberikan ucapan di atas pentas. Tetapi rupanya ia dilakukan dalam bentuk yang amat "simple" iaitu dengan membariskan 6 orang pembentang di hadapan dan setiap seorang daripada kami hanya diberikan masa selama 15 minit sahaja untuk membentangkan kertas kerja. Ini bermakna kami perlu meringkaskan kajian kami yang berbelas-belas muka surat itu dalam jangka masa yang amat singkat.

Berdebar-debar saya menunggu giliran saya. Apabila tiba saja giliran saya, tanpa berlengah saya terus mengambil tempat. Disebabkan masa yang diberikan terlalu singkat, tersasul-sasul juga saya dibuatnya untuk menghabiskan slide yang ada. Saya tersenyum sendirian apabila mengingatinya. Nasib baik saya sediakan 8 slide saja. Jadi ia mampu dihabiskan dalam masa yang dihadkan. Lega rasanya selepas selesai pembentangan. Baru saya tahu membentangkan kertas kerja tidak sesusah yang disangka. Asalkan kita tahu dan faham dengan apa yang kita tulis, ia sudah cukup untuk meyakinkan diri kita dengan apa yang akan kita sampaikan. Tak sabar nak tunggu pembentangan yang seterusnya pada Disember nanti. Kesimpulannya, tiada yang mustahil dilakukan dalam hidup kita. Teringat saya pada kata-kata Saidina Ali ibn Abi Talib:

"Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bila pun dia tidak akan menjadi orang yang berani."

Justeru itu, sama-samalah kita memberanikan diri untuk melakukan perubahan bagi memajukan diri.

Nukilan,
Wanna
2 Sya'ban 1430H

Tiada ulasan: