Selasa, 7 Julai 2009

Sungguh Cepat Masa Berlalu

Sungguh pantas masa berlari. Rasanya baru semalam saya memulakan kerjaya di UiTM. Rupa-rupanya hari ini dah masuk semester kedua berada di sini. Hari ini saya memulakan hari pertama untuk semester yang baru bermula. Kelas saya bermula seawal jam 8 pagi. Melihat wajah pelajar yang berseri-seri menyambut kedatangan pensyarah mengingatkan saya kepada Wanna ketika menjadi seorang mahasiswi dulu.

Saya masih ingat ketika itu saya sangat mendambakan kerjaya sebagai seorang pensyarah selepas tamat pengajian. Mungkin ia sudah menjadi minat saya mengajar orang lain yang memerlukan bantuan. Saya masih ingat ketika berada di tingkatan dua, kawan-kawan akan mengerumuni saya untuk menanyakan cara menyelesaikan tugasan matematik. Kadang-kadang terpaksa bergerak dari satu meja ke satu meja sebab ditarik oleh kawan-kawan untuk diajarkan sama. Timbul suatu kepuasan apabila dapat membantu kawan-kawan memahami sesuatu yang diajar oleh guru. Dan minat itu berterusan hingga saya belajar di universiti. Saya sangat seronok apabila tiba masa membentangkan tugasan kerana saya puas apabila dapat memahamkan orang lain tentang tugasan yang diberikan. Setiap kali melihat pensyarah-pensyarah kegemaran saya memberi kuliah, saya sentiasa bertekad ingin menjadi seperti mereka suatu hari nanti.

Dan hari ini alhamdulillah, saya mampu berdiri di hadapan pelajar-pelajar saya untuk memberi kuliah kepada mereka pula. Apabila terkenangkan pelbagai cabaran dan ujian yang perlu ditempuhi, kadang-kadang saya tidak percaya saya mampu menjadi Wanna seperti hari ini. Saya tidak pernah kesal dengan segala onak duri yang terpaksa saya tempuhi sebelum ini. Malah halangan-halangan itulah yang menjadikan saya lebih matang dalam mengharungi hidup yang serba mencabar ini. Saya sentiasa percaya bahawa Allah telah mengaturkan yang terbaik untuk saya. Setelah mengharungi pelbagai ujian dalam hidup, saya dapati yang terbaik Allah berikan kepada kita itu, tidak semestinya apa yang kita mahu tapi apa yang kita perlu pada waktu itu. Harapan saya, agar pelajar-pelajar saya juga mampu mengharungi dugaan hidup dengan baik dengan sentiasa bersangka baik pada Allah.

Kesyukuran yang setinggi-tingginya kurafa'kan padaMu Ya Allah atas segala ni'mat yang Kau berikan. Amin.

Wanna

14 Rejab 1430H

2 ulasan:

Dr Zahau berkata...

insyaallah za..
semoga sentiasa diberkati..

Wanna berkata...

Terima kasih Azhar. Semoga segala usaha dan tindak tanduk kita sentiasa diberkati.