Rabu, 1 Julai 2009

Hanif, Ummi Terlalu Rindu Padamu...

Ummi tak tahu mengapa malam ini Ummi tak boleh melelapkan mata seperti biasa. Tiba-tiba fikiran Ummi menerawang terkenangkan Hanif. Hanif? Ya, Ummi terkenangkan Hanif. Dah lama Ummi tak jumpa Hanif. Dah lama Ummi tak peluk dan cium pipi Hanif yang putih dan gebu. Dah lama Ummi tak bercakap dan bercerita dengan Hanif kan? Perlahan-lahan Ummi melangkahkan kaki ke bilik Abang Hasif untuk mencari sesuatu. Sesuatu yang amat bermakna buat Ummi, yang menyimpan segala memori indah Ummi bersama insan yang Ummi sayangi.

"Kriiiiik". Ah, berbunyi pula pintu ni. Perlahan-lahan Ummi buka daun pintu bilik Abang Hasif. Ummi tak nak ganggu Abang Hasif yang sedang enak diulit mimpi. Hmm, Ummi tersenyum sendirian. Dah besar anak sulong Ummi ni. Lena benar dia. Letih agaknya balik sekolah lewat petang tadi. Ummi terus menuju ke almari kecil tempat terletaknya sebuah album gambar yang amat Ummi sayang. Ha, ini dia album yang Ummi cari. Ummi ambil album coklat muda itu dan bawa ke bilik Ummi.

Album itu masih elok tersimpan dan akan terus Ummi simpan hingga akhir hayat Ummi. Berharga benar album ini buat Ummi. Perlahan-lahan Ummi keluarkan album coklat muda dari sarungnya. Kulitnya Ummi selak......"Tap, tap, tap." Ah, ini yang Ummi tak tahan. Air mata Ummi berderaian jatuh di atas lapisan plastik yang melindungi gambar-gambar yang Ummi susun dari rosak dek air mata Ummi. Bahkan alirannya bertambah deras setiap kali halaman baru diselak. Beginilah keadaan Ummi setiap kali menatap wajah anak kecil di dalam album coklat muda ini. Gambar-gambar di dalam album itu disusun cantik mengikut kronologi. Dari anak kecil itu berumur satu hari hinggalah pada saat-saat terakhir sebelum dia meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Dari saat-saat anak kecil itu mula ketawa dan tersenyum manja hinggalah dia tak mampu tersenyum mahupun menangis dek kerana kesakitan yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata.

Ummi ambil dan peluk album itu kuat-kuat pada dada Ummi. Mata Ummi terus melimpahkan laharnya tanpa dapat ditahan-tahan. "Hanif, Ummi amat rindukan Hanif," tiba-tiba kata-kata itu terpacul dari mulut Ummi. Ya, Ummi benar-benar rindukan mata Hanif yang cerah bercahaya walaupun tak mampu melihat seperti insan lain. Ummi benar-benar rindukan senyuman Hanif yang mampu menyembunyikan kesakitan Hanif yang amat dahsyat. Ummi benar-benar rindukan genggaman erat jari-jari Hanif yang kecil itu bagi menunjukkan tanda sayang Hanif pada Ummi yang sentiasa mahukan Ummi di sisi. Itulah caranya Hanif menyampaikan isi hatinya kerana dia tidak mampu meluahkannya walau dengan sebaris ucapan.

Sungguh tabah hatimu Hanif menghadapi ujian Allah yang hebat itu. Tentu Hanif masih ingat pesanan Ummi setiap kali Hanif menggelepar kesakitan tanpa setitis air mata di pipi. "Hanif, sabar ya sayang. Hanif kena ingat bahawa Allah sayangkan Hanif. Sebab itulah Allah beri ujian ini pada Hanif. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Sabar ya sayang. Ummi akan sentiasa bersama Hanif walau dalam apa keadaan sekalipun." Itulah pujukan Ummi setiap kali Hanif mengerang kesakitan. Ummi sentiasa bercakap dengan Hanif walaupun Ummi tahu Hanif tak mampu membalas kata-kata Ummi seperti kanak-kanak lain sebaya Hanif. Ini kerana Ummi tahu Hanif mampu memahaminya berpandukan gerak mata dan gerak tubuh Hanif. Dan Ummi juga tahu, Hanif cuba mengikut pesanan Ummi dari kerut dahi Hanif yang cuba menahan kesakitan.

"Pap". Album coklat muda itu Ummi masukkan semula ke dalam sarungnya. Terpapar di atasnya "Muhammad Hanif Fahmi Dalam Kenangan". Dan Ummi simpan kembali ke tempatnya dan kembali ke bilik Ummi untuk melelapkan mata bersama rindu Ummi pada Hanif yang tak pernah pudar. Tunggu Ummi di syurga ya Hanif agar Ummi dapat memeluk Hanif seperti dulu. Ummi akan terus berdoa agar ia dimakbulkan. Insya'Allah.....

Wanna
8 Rejab 1430H

2 ulasan:

Dr Zahau berkata...

salam

insyaallah za..diakhirat nanti..anak ustazh
bakal jadi penolong yang sngt berguna..insyaallah

Wanna berkata...

Terima kasih, Azhar. Insya'Allah. Itulah yang sentiasa ustazah doakan.